Elak berdebat, sikap Guan Eng saling tidak tumpah seperti bapanya – Najib

DATUK Seri Najib Razak membidas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang disifatkan cuba berlagak hero di mata rakyat, tetapi hakikat yang sebenar adalah sebaliknya.

Malah, bekas Perdana Menteri itu mendakwa sikap yang ditonjolkan Guan Eng itu saling tidak tumpah seperti bapanya, Lim Kit Siang yang pernah mengelak apabila cabaran mengadakan perdebatan serampang dua mata disahut.

“Guan Eng janganlah cuba berlagak hero sebab kamu sudah dua kali lari. Anak dengan ayah berdua ini sama saja.

“Sama seperti pada tahun 2019 juga di mana Kit Siang ajak saya debat. Akhirnya Kit Siang larikan diri selepas saya bersetuju debat.

“Alasan diberikan Kit Siang masa itu lagi tak masuk akal – kononnya debat antara dia dengan saya akan menimbulkan masalah perkauman,” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas mengenai perdebatan antara Guan Eng dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Najib berkata, Guan Eng cuba mencari alasan untuk menggagalkan perdebatan itu diadakan.

“Tak tahan dengan adegan Guan Eng ini yang saya lihat amat buruk sekali.

“Semalam, Wee Ka Siong bersetuju dengan TV3 untuk tetapkan tarikh 2 November sebagai tarikh debat dengan Guan Eng, iaitu selepas Bajet 2022 dibentang dalam Dewan Rakyat, tapi Guan Eng tak puas hati.

“Guan Eng kata Ka Siong tak perlu beri alasan bajet negara untuk “tangguhkan” debat biarpun tarikh 2 November itu cuma sekitar 2 minggu dari sekarang. Guan Eng mahu tarikh 23 Oktober – bukan 2 November. Beza 10 hari,” kata Najib.

Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan berkata, ini bukan kali pertama Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mencari helah untuk menggagalkan perdebatan dengan Ka Siong.

Katanya, untuk rekod, debat kali ini berhubung isu kabotaj adalah kali ketiga Ka Siong cabar Guan Eng untuk berdebat.

“Bajet negara tak penting ke, Guan Eng? Adakah beza tempoh 10 hari itu benar-benar terlalu lama? Ko fikir Ka Siong sebagai Menteri Pengangkutan tidak perlu sumbang kepada bajet negara ke?

“Kali pertama pada tahun 2018 di mana Guan Eng enggan debat dengan Ka Siong berhubung skandal terowong dengan memberi alasan Ka Siong masa itu bukan presiden parti dan dia sebagai boss DAP hanya akan debat dengan boss MCA.

“Kali kedua pada tahun 2019 dan sekali lagi Ka Siong cabar Guan Eng untuk debat berhubung isu dana untuk KUTAR di mana Guan Eng sebagai ‘Menteri Kewayangan’ telah salurkan dana bagi KUTAR kepada yayasan yang dikuasai oleh geng-geng dia dan bukan terus kepada Universiti yang akhirnya banyak memarahkan komuniti pelajar KUTAR.

“Kali kedua ni, Guan Eng langsung tak layan dengan memberi alasan tiada keperluan untuk debat isu ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights