Kerajaan digesa tutup syarikat pengeluar minuman keras – PAS

KERAJAAN perlu mengambil tindakan tegas menutup syarikat pengeluar minuman keras di negara ini bagi mengelakkan duluan atau ‘precedent’ yang mendorong kemunculan syarikat pengeluar minuman keras baharu.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Mohd Nor Hamzah, berkata sebarang promosi dan penjualan minuman keras secara terbuka perlu dihentikan kerana dibimbangi memberi impak negatif kepada masyarakat khususnya anak muda.

Beliau berkata, kerajaan harus memastikan iklan dan promosi minuman keras oleh mana-mana syarikat dipantau mengikut garis panduan larangan seperti termaktub dalam Bahagian 3, Kod Kandungan mengenai Iklan, Perenggan 8.5 (Iklan Khusus Lain) Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Kerajaan juga diharap dapat memperkemas pemantauan dan penguatkuasaan pihak berkuasa seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya perkara ini tidak berulang selepas ini.

“Selain itu, semakan latar belakang dan ketekunan wajar perlu dijalankan ke atas syarikat pengeluar minuman keras. Syarikat-syarikat ini seharusnya mengambil kira aspek sensitiviti agama dalam mempromosikan produk mereka walaupun Malaysia merupakan negara majmuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Mohd Nor berkata, PAS berharap kerajaan akan mengambil serius dan mengenakan tindakan sewajarnya seperti mana larangan Nabi Muhammad SAW yang melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak.

Terdahulu, kerajaan menafikan mempunyai hubung kait dengan pengeluaran arak jenama tempatan iaitu Timah sebagaimana tular di laman-laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, adalah tidak wajar mengaitkan perkara tersebut dengan kerajaan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights