POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memperhebatkan siasatan untuk mengesan dalang penyeludupan heroin seberat 450 kilogram (kg) ke Australia menggunakan sebuah kontena dari Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, berkata pihaknya bekerjasama dengan Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam menyiasat peranan suspek lelaki warga Malaysia yang ditahan bersama kontena mengandungi heroin bernilai RM431 juta pada 29 September lalu.
Katanya, suspek itu kini sudah dituduh di mahkamah negara itu dan menunggu perbicaraan pada Januari depan.
“Apa yang kami boleh sahkan setakat ini adalah lelaki yang dicekup itu memang warga Malaysia dan rekod menunjukkan dia masuk ke Australia sejak Januari 2020, disebabkan MCO (Perintah Kawalan Pergerakan) dia terpaksa berada di sana dan tak dapat balik semula.
“Namun kita sedang menantikan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Australia dalam kes ini untuk tindakan sewajarnya, pada masa sama kami percaya aktiviti penyeludupan itu didalangi sindiket tertentu di dalam negara ini.
“Selain menyiasat peranan suspek yang ditahan Australia itu, kita juga memperhebatkan usaha di sini untuk mengesan dalang utama sindiket berkenaan,” katanya dipetik laporan Malaysiagazette hari ini.
Razarudin menjelaskan, polis juga melakukan siasatan dari mana sumber bekalan dadah yang banyak itu diperolehi, sama ada dihasilkan di Malaysia atau dibawa masuk melalui negara jiran sebelum diseludup ke Australia.
Baru-baru ini, media Australia melaporkan AFP berjaya merampas penghantaran heroin terbesar dalam sejarah negara itu yang dianggarkan bernilai A$140 juta (RM431 juta).
Dalam rampasan itu, AFP menahan suspek lelaki warga Malaysia berhubung kesalahan mengimport dadah berkenaan, yang dihantar dari Malaysia ke sebuah syarikat perniagaan di Melbourne.
Dadah seberat 450 kg itu dikesan dalam kontena kapal yang diisytihar mengandungi jubin seramik kepada kastam negara itu yang mana ia tiba di Pelabuhan Melbourne pada 29 September lalu.
Pegawai Pasukan Kawalan Sempadan Australia (ABF) yang memeriksa kontena terbabit terkejut apabila menemui 1,290 bungkusan mengandungi heroin. – Malaysiapost