SOP am, garis panduan fasa endemik bakal diumumkan – Hishammuddin

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) akan membentangkan perincian prosedur operasi standard (SOP) bagi menggantikan 181 SOP yang diguna pakai sebelum ini kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19, dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dengan perincian termasuk garis panduan itu nanti, ia akan menjadi satu SOP am yang boleh berkuat kuasa melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Dalam peralihan daripada fasa pandemik kepada endemik, kerajaan akan memfokus satu SOP am yang berkaitan langkah tetap bagi mengawal penularan, seperti memakai pelitup muka, panduan pengudaraan, daftar masuk (check in) MySejahtera, syarat lengkap vaksinasi dan lain-lain.

“Sembilan garis panduan terbabit pula merangkumi aktiviti dalam pelbagai sektor. Garis panduan berkenaan tidak boleh dikuatkuasakan tetapi menjadi tanggungjawab rakyat untuk memahami dan mengamalkannya dengan sebaik mungkin,” katanya pada sidang media khas di Wisma Pertahanan, hari ini.

Hishammuddin berkata, sebaik saja SOP am dan garis panduan itu diumumkan, rakyat perlu memainkan peranan bersama pihak berkuasa dengan mengelak daripada melakukan perkara yang boleh meningkatkan risiko jangkitan.

“Ini selari dengan fokus ketiga perancangan kerajaan dalam menuju ke fasa endemik, iaitu pemerkasaan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin dalam kenyataan mengenai isu sama berkata, dalam peralihan negara dari fasa pandemik ke fasa endemik, usaha untuk mengurangkan SOP yang digunapakai sebelum ini telah siap.

Katanya, matlamat utama kerajaan di sebalik usaha ini ialah merangka SOP yang mudah difahami dan dipatuhi oleh orang ramai.

“Ia penting memandangkan di fasa endemik kelak, hakikat yang harus diterima ialah kita perlu hidup bersama virus Covid-19.

“Ini bermakna, virus yang berbahaya ini masih berada di persekitaran sekali gus memerlukan orang ramai faham dan kekal patuh kepada SOP,” katanya

Sehubungan itu, Hishammuddin berkata, beliau sekali lagi mengingatkan rakyat agar tidak bersikap sambil lewa dalam memanfaatkan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan.

“Terus kukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri dengan mengamalkan TRIIS, iaitu TEST, REPORT, ISOLATE, INFORM, SEEK,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights