Maulidur Rasul bukan sekadar melahirkan kegembiraan

Maulidur Rasul bukan sekadar melahirkan kegembiraan

SAMBUTAN Maulidur Rasul bukan sekadar melahirkan kegembiraan, sebaliknya umat Islam perlu mengambil iktibar dan mengikuti segala apa yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, berkata antara cara terbaik menghayati perjuangan Rasulullah SAW, adalah dengan menghidupkan syariat dan syiar dibawa oleh Baginda semenjak 1400 tahun yang lalu.

Beliau berkata, Baginda juga telah meninggalkan khazanah berharga buat kita sebagai panduan hidup, iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

“Baginda Rasulullah SAW datang dengan membawa suatu peraturan hidup atau syariat yang sempurna. Ia bukan akalan manusia tetapi bersumberkan wahyu yang diturunkan Allah SWT kepada penutup segala nabi.

“Maka dapat difahami, di sebalik syariat itu tersirat objektif atau matlamat demi memelihara kemaslahatan umat manusia yang dikenali 11 sebagai Maqasid Syariah,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan, hari ini.

Menurutnya, Maqasid Syariah terbina di atas lima asas yang menjadi keperluan setiap manusia iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

“Sifat sejagat Maqasid Syariah ini amat signifikan dijadikan asas kerangka strategik dalam menguruskan kehidupan manusia tanpa mengira sempadan agama dan bangsa.

“Malah Maqasid Syariah mampu menjadi wahana yang ampuh dalam menghasilkan impak terbaik bagi menangani isu-isu tadbir urus, keadilan, kesihatan, ekonomi, sosial dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu akhirnya akan memperlihatkan Syariat Islam itu sentiasa segar, relevan, realistik dan praktikal pada setiap masa dan tempat, tanpa mengira bangsa dan agama.

Sementra itu, menyentuh mengenai tema sambutan Maulidur Rasul kali ini iaitu ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti, beliau berkata ia dipilih bagi mengajak masyarakat meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dan panduan dalam setiap perkara.

“Sebagai contoh kita sebagai ibu bapa, nilai keluarga yang dibina adalah untuk mencari reda Allah. Kita sebagai pemimpin, sentiasa memperingatkan diri, amanah ini akan disoal oleh Allah di hari akhirat nanti.

“Kita sebagai ketua keluarga, bekerjalah bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki yang halal. Dalam konteks kejiranan, kita akan sentiasa menjaga kebajikan jiran kerana itu arahan agama,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen