PRN Melaka ‘dipaksakan’ untuk rakyat – Mat Sabu

PRN Melaka ‘dipaksakan’ untuk rakyat – Mat Sabu

PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diisytiharkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam adalah pilihan raya yang ‘dipaksakan’.

Beliau berkata, sepatutnya tidak perlu diadakan pilihan raya kerana empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada (Perikatan Nasional-Barisan Nasional) (PN-BN) telah berpaling tadah dan menyokong Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri menunjukkan pemerintahan yang lemah ketika persefahaman bersama kerajaan dan pembangkang sedang berjalan.

“Anehnya kini berlaku di bawah pimpinan Ismail Sabri, kita tidak faham sumber mana dia pakai adakah cara demokrasi, atau undang-undang apabila PN-BN hilang majoriti dimohon untuk bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dipersetujui untuk dibubar.

“Bagi saya ini Perdana Menteri paling teruk sekali, kita tidak tahu dia mahu membawa Malaysia ke arah mana,” katanya dalam sebuah video di laman Facebook, hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, beliau tidak pasti cara pemerintahan Ismail Sabri ketika ini kerana PRN Melaka dipaksakan untuk rakyat.

“Saya tidak tahu Malaysia nak pergi ke arah mana. Pilihan raya dipaksakan untuk rakyat. Bagi saya bukan sebab Covid-19. Saya tidak tahu Ismail Sabri ikut formula mana. Kamu (Ismail Sabri) paksakan pilihan raya di Melaka yang sepatutnya tidak perlu.

“Rakyat fikirlah bagaimana kita memiliki kerajaan yang tidak stabil, compang-camping. Ayuh rakyat Malaysia berfikirkan bagaimana kita mahu terus hidup di bawah kerajaan yang tiada arah tuju,” katanya.

Terdahulu, SPR mengumumkan PRN Melaka bakal diadakan pada 20 November ini susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu.

Sementara, pengundian awal diadakan pada 16 November manakala penamaan calon pada 8 November. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen