PRN Melaka: Kerjasama dengan parti lain diputuskan awal November – Zahid

PRN Melaka: Kerjasama dengan parti lain diputuskan awal November – Zahid

PENDIRIAN Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan mana-mana parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diputuskan selepas mesyuarat di tiga peringkat.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno serta Dewan Tertinggi BN sebelum keputusan dimuktamadkan.

Katanya, keputusan berkaitan kerjasama itu akan diputuskan sebelum hari penamaan calon pada 8 November.

“Umno dan BN mesti ditanya siapa rakan politik kami untuk menghadapi PRN.

“Saya ingin menyatakan bahawa keputusan muktamad untuk Umno dan BN bekerjasama dengan mana-mana pihak belum diputuskan secara rasmi.

“Keputusan muktamad akan kita umumkan apabila (selepas) mesyuarat Biro Politik Umno dan juga MKT Umno akan diikuti Dewan tertinggi BN yang akan kita adakan minggu depan atau tarikh-tarikh sebelum hari penamaan calon,” katanya seperti dilapor AstroAwani.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jentera PRN Umno Melaka di Masjid Tanah, hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid, berkata Umno sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam menerima pandangan mana-mana pihak sebelum keputusan dibuat.

“Pelbagai pihak datang kepada kami, kami berlapang dada dan berfikiran terbuka… siapa sahaja mahu berikan pandangan kami terima.

“Namun segala keputusan akan kita putuskan secara kolektif apabila tiba masanya nanti. Maka jangan ada spekulasi daripada mana-mana penganalisis politik untuk menelaah di manakah pendirian Umno dan BN dalam PRN Melaka ini,” katanya lagi.

Tambah Ahmad Zahid, pemilihan calon Umno ketika ini bertumpu kepada rekod kemenangan calon berdasarkan data dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan ke-14 lalu.

“Setakat ini kami melihat bahawa fokus kepada calon-calon kami terletak di atas kebolehmenangan kawasan DUN itu.

“Berdasarkan sains dan data melalui perangkaan yang diperolehi daripada PRU-14 dan PRU-13 dan unjuran yang dibuat untuk PRN kali ini,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen