PRN Melaka: PN umum kerjasama dengan rakan politik dalam masa terdekat – Hamzah

PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan bentuk kerjasama bersama rakan politik termasuk Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pemimpin parti komponen PN termasuk Bersatu, Gerakan dan PAS akan mengadakan perbincangan dengan rakan politik lain untuk membentuk kerjasama berkenaan.

“Kita akan mula berbincang, yang mana PAS juga akan mengadakan perbincangan dan wakil-wakil pimpinan PN juga akan berbincang dengan pemimpin BN yang lain.

“Dalam masa terdekat ini kita akan umumkan bagaimana kerjasama dengan rakan-rakan politik itu,” katanya seperti dilaporkan Awani.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Gempur PN Melaka hari ini.

Hadir sama, tiga Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee, Datuk Rafiq Naizamohideen serta Datuk Radzi Jidin, selain Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sementara itu, beliau berkata, tidak timbul isu perpecahan dalam PN Melaka meskipun kerjasama bersama Umno belum diputuskan.

Malah, beliau berkata, kerjasama politik yang berlaku di peringkat pusat boleh dipraktikkan pada PRN nanti.

“Kerajaan pusat telah membuktikan kita boleh bekerjasama. Jadi, bukan (setakat) hanya di Melaka, semua negeri boleh adakan kerjasama itu dan tidak timbul soal perpecahan.

“Bukan bersedia (kerjasama), tetapi matlamat kita adalah tidak ada perpecahan (kerana) apabila ada perpecahan semua boleh berpecah-belah bukan hanya di peringkat atasan, tetapi bawahan dan kita tidak lagi mahu lihat rakyat berpecah,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights