Keputusan terima 4 bekas Adun belum diputuskan – Anwar

KEHADIRAN empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka dalam satu majlis di negeri itu baru-baru ini, hanyalah jemputan untuk mengucapkan terima kasih.

Sehubungan itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia tidak bermakna kesemua mereka telah diterima untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November depan.

“Orang tanya kenapa kita jemput dalam majlis, kita jemput kerana merekalah yang bawa perubahan di Melaka dan ketika itu PH Melaka menyokong.

“Bagi kita ia sekadar mengucapkan terima kasih, soal pilihan raya lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Port Dickson hari ini.

Mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang parti itu enggan menerima bekas Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, Anwar berkata, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat petang ini.

“Yang dibangkitkan DAP hanya seorang sahaja, jadi kita akan bincanglah dalam mesyuarat. Ia hanya mesyuarat biasa, mesyuarat awal PRN,” katanya.

Kelmarin, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron kali pertama Idris berdiri di pentas Pakatan Harapan (PH) untuk berucap selepas bersama tiga lagi Adun yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Selain Idris, bekas Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; bekas Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan bekas Adun Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan turut hadir pada program tersebut.

Idris dilaporkan berkata, beliau menyerahkan ‘nasib dan nyawa politiknya’ kepada PH dalam menghadapi PRN, 20 November depan.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dilaporkan berkata kehadiran Idris bersama tiga Adun itu adalah atas jemputan pihaknya.

“PH Melaka cuba bina `khemah besar’ dalam perjuangan ini dan kehadiran empat bekas Adun berkenaan memberi semangat kepada kami untuk merealisasikannya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights