Lebih 28,000 maut akibat Covid-19 di Malaysia

JUMLAH kematian akibat Covid-19 di Malaysia kini adalah 28,062 kes sejak wabak berkenaan melanda negara termasuk 69 kematian terbaru dilaporkan semalam.

Berdasarkan data dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal covidnow.moh.gov.my, daripada jumlah kematian baharu itu sebanyak 11 kes adalah kematian di luar hospital (BID).

Secara keseluruhan kes kematian yang direkodkan adalah membabitkan 22,396 kematian ketika pesakit dirawat di hospital, manakala 5,666 membabitkan kes BID.

Bagi pecahan kes kematian baharu akibat Covid-19, Sarawak mencatatkan kematian tertinggi semalam, iaitu 16 kes, diikuti Selangor dan Perak (masing-masing sembilan), Johor (lapan), Pulau Pinang (enam) dan Kelantan (lima).

Melaka dan Sabah pula masing-masing merekodkan empat kes kematian baharu, manakala Pahang dan Perlis (masing-masing tiga) serta Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur (masing-masing satu).

Tiada kes kematian direkodkan di Kedah, Terengganu, Labuan dan Putrajaya, semalam.

KKM turut melaporkan sebanyak 85,916 kes aktif daripada keseluruhan 2,396,761 kes positif Covid-19 yang dilaporkan di negara ini.

Sementara itu, kadar vaksinasi populasi keseluruhan di Malaysia kini sudah mencapai sebanyak 70.6 peratus atau 23,052,952 individu yang lengkap divaksinasi setakat semalam.

Peratusan penduduk yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pula adalah sebanyak 77.3 peratus atau 25,256,025 individu, manakala populasi dewasa yang sudah lengkap divaksinasi kini adalah 94 peratus atau 22,013,263 orang.

Jumlah keseluruhan pemberian dos termasuk dos tunggal dan vaksin dua dos sehingga semalam adalah 48,181,111 dos dengan 134,684 dos vaksin diberikan semalam.

Seramai 1,039,689 atau 33.0 peratus remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negara ini sudah divaksinasi termasuk 106,858 dos diberikan semalam.

Pada masa sama sebanyak 32,121 dos penggalak diberikan kepada individu berusia 18 tahun ke atas, termasuk 1,365 dos diberikan semalam. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights