Pemuda harap i-Citra RM10,000 tidak diabaikan dalam Bajet 2022

Pemuda harap i-Citra RM10,000 tidak diabaikan dalam Bajet 2022

PEMUDA Umno berharap kerajaan tidak mengabaikan tuntutan rakyat berhubung pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) sebanyak RM10,000 secara ‘one-off’ dalam pembentangan Bajet 2022.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu penting bagi membantu rakyat memulakan kehidupan baharu pasca pandemik Covid-19.

“Kurang dua minggu lagi sebelum hari pembentangan Bajet 2022.

“Selain pakej bantuan yang memadai dan mencukupi untuk rakyat memulakan kehidupan baharu pasca pandemik sebagai satu jaminan ‘safety net’ mereka, tuntutan i-Citra KWSP minima RM10,000 secara ‘one-off’ jangan sesekali diabaikan.

“Ini penting untuk menjamin rakyat mempunyai cukup tunai di tangan untuk melangsaikan segala komitmen mereka selain memenuhi keperluan kelangsungan hidup pasca pandemik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berharap, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, mengambil perhatian serius terhadap harapan dan tuntutan rakyat berkenaan.

Sementra itu, terdahulu Tengku Zafrul dalam satu hantaran di laman Facebooknya, memaklumkan sudah selesai mengemaskini status terkini penyediaan Bajet 2022 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Alhamdulillah selesai update Perdana Menteri mengenai status terkini penyediaan Bajet 2022.

“Tinggal kurang lagi dua minggu sehingga hari pembentangan. Terima kasih kepada Perdana Menteri yang luangkan masa pada hari cuti ini untuk beri tumpuan kepada Bajet 2022,” katanya. – Malaysiapost ⠀

Google+ Linkedin

Komen