Penubuhan Bersatu adalah untuk ‘bunuh’ Umno – Tok Mat

KEBANGKITAN Umno sebelum ini untuk kembali menerajui negara selepas tewas kepada Pakatan Harapan (PH), hampir terhenti kerana tersilap menjalinkan kerjasama dengan Bersatu, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, usaha menjatuhkan kerajaan pimpinan PH akhirnya berjaya dilakukan, namun sikap gopoh tanpa berfikir panjang dalam menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu hampir menyebabkan Umno terkubur.

“Doa kita agar kerajaan PH jatuh sudah dimakbulkan, tetapi kita doa tak habis..patut minta Umno terajui negara

“Jadi tumbang PH kerana Tun Dr Mahathir Mohamad tahu bahawa dia tidak boleh bertahan lama lagi dalam PH dan kalau dia masih tetap bertahan dalam PH, Bersatu akan ‘ditalkinkan’ pula macam dia nak talkinkan kita (Umno),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Serentak Persidangan Cawangan-Cawangan Wanita Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pagoh 2021, di Kompleks Seri Pekembar Pagoh, semalam.

Menurutnya, pada ketika itu Umno sudah bangkit bersama dengan rakan lain dalam Muafakat Nasional (MN) dan ombak tsunami yang dibangkitkan tidak boleh ditahan lagi yang jika mana tidak dilakukan sesuatu MN akan menjadi kuasa baharu di Malaysia.

“Maka di buatlah dan dijatuhkan, dan kita (Umno) pula tidak menyempat nak jadi kerajaan, tidak fikir apa syarat untuk tubuh kerajaan, terus tumbuhkannya maka tersalah pula pilih orang untuk tubuh kerajaan.

“Orang yang ada enam kerusi (Parlimen) dan kita ada 43 kerusi ketika itu, tetapi kita serahkan jawatan nombor satu negara kepada orang yang hanya ada enam kerusi sahaja.

“Tetapi tersalah pilih orang untuk kita jadikan Perdana Menteri..rupanya orang yang nak bunuh parti kita yang dinaikkan. Orang yang nak bunuh kita..kita ajak masuk bilik tidur sama-sama,” katanya.

Menurutnya, matlamat penubuhan Bersatu adalah untuk membunuh dan menggantikan Umno dan malangnya pemimpin parti itu dijunjung oleh Umno untuk dijadikan Perdana Menteri ketika itu.

“Itu salah satu sebab kita tidak boleh bertahan lagi kerana kita bagi kuasa pada dia (Muhyiddin), tetapi tidak menggunakan kuasa dengan baik dan niat jahat diteruskan untuk membunuh kita.

“Tambahan pula ternyata kerajaan yang dipimpin oleh PN gagal mengurus negara. Keadaan negara bertambah teruk ketika diambil alih daripada PH. Tidak boleh urus Covid-19, tidak boleh urus ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, secara bersistematik Umno dilemahkan dalam kerajaan PN, menyebabkan usaha dilakukan bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku dan akhirnya Perdana Menteri daripada Umno berjaya dilantik

“Sekarang tidak sampai tiga bulan Umno menjadi Perdana Menteri, keadaan politik negara sudah tenang

“Jadi sekarang apa yang kita minta dah dapat, jangan meragam lagi walaupun Umno bukan parti dominan tetapi Perdana Menterinya adalah Umno dan bagi orang luar kerajaan ini adalah kerajaan Umno,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights