Sultan Nazrin perkenan hadiri Pengurniaan Anugerah Majlis Maulidur Rasul

Sultan Nazrin perkenan hadiri Pengurniaan Anugerah Majlis Maulidur Rasul

TIMBALAN Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Penganugerahan Penerima Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Istana Negara, hari ini.

Istana Negara menerusi kenyataan berkata, keberangkatan tiba baginda disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh.

“Pada majlis penganugerahan ini, Timbalan Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1443H/2021M kepada Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Datuk Dr Suhaini Kadiman.

“Beliau juga adalah Ketua Jabatan Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi Institut Jantung Negara (IJN),” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, selain Dr Suhaini, enam individu turut dikurniakan Anugerah Maulidur Rasul.

“Mereka ialah bekas Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam dan bekas pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Datin Dr Paizah Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Syeikh Zakaria Othman; Ketua Pengawai Eksekutif HIKMAH Sarawak, Alwi Morshidi.

“Termasuk pengasas Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Ali Hassan Mohd Hassan, pengasas dan pengarah Pertubuhan Kebajikan Pondok Spiritual OKU Muslim (PONDOKU), Mohd Zaini Mat Abas dan bekas penyelia Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Tawau, Mohd Amin Nasir,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen