Tiada niat malukan Raja Farah, Fauzi Nawawi mohon maaf

Tiada niat malukan Raja Farah, Fauzi Nawawi mohon maaf

PELAKON, Fauzi Nawawi menyatakan beliau tidak berniat memalukan Raja Farah termasuk suaminya, sekali gus memohon maaf secara terbuka berkaitan pendedahan babak panas bersama pelakon itu yang tular di Twitter.

Menerusi video dikongsi Fauzi di Instagramnya, pelakon itu mengakui kekhilafannya dengan menceritakan adegan rogol dalam filem terbitan 2007 bersama Raja Farah dalam sebuah program TV.

“Apa pun saya mengaku memang salah saya, saya jahil, saya tidak baik dan sedang memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik. Buat mereka yang amat sensitif dan terkesan kerana video tersebut, suami Raja Farah, saya mohon maaf dari hujung rambut sehingga hujung kaki.

“Memang saya tiada niat langsung untuk memalukan sesiapa, kepada Raja Farah dan keluarganya, saya minta maaf,” katanya dalam nada kesal.

Dalam pada itu, Fauzi yang juga suami kepada aktres Lisdawati memohon agar isu tular tersebut tidak dipanjangkan lagi oleh mana-mana pihak selepas ini.

“Saya tidak mahu lagi perkara ini dipanjangkan. Kepada netizen yang amat prihatin terhadap perkara ini sampai sanggup maki saya, ibu, keluarga dan anak-anak saya, saya maafkan.

“Saya anggap anda semua terlalu prihatin dan sayangkan saya, sebab itu sanggup maki saya. Saya berterima kasih kepada mereka yang mengingatkan dan menegur kesilapan saya sama ada secara baik atau kasar, terima kasih, saya terima dengan rela hati,” katanya.

Fauzi berkata, beliau telah meminta pihak penerbit serta produksi menyunting bahagian yang sensitif sebaik sahaja selesai rakaman dan program ini berlangsung pada tahun lalu.

“Habis sahaja rakaman, saya sudah minta pihak penerbit dan produksi untuk potong yang mana sensitif. Semasa kami bersembang antara lelaki memang saya salah apabila tidak mengawal dan terlepas cakap nama Raja Farah.

“Bila terlepas cakap habis rakaman saya tersedar bahawa ada benda yang patut dipotong. Tetapi malangnya, program itu pun sudah ditayangkan dua kali, tidak tahu pula hari ini ditularkan semula di Twitter,” katanya.

Terdahulu isu tular ini mendapat maklum balas daripada Raja Farah dan suami yang menyifatkan perkara itu sangat memalukan.

Malah, suaminya juga menegaskan, rakaman yang disiarkan di kaca TV itu adalah salah di setiap sudut, ia kerana mereka tidak menjaga aib dan kehormatan wanita. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen