Anak Fauzi Nawawi rayu netizen henti komen, caci keluarganya

ANAK perempuan kepada pelakon, Fauzi Nawawi merayu agar netizen berhenti menghantar mesej peribadi atau komen cacian terhadap dirinya serta ahli keluarga yang lain.

Menerusi hantaran di Instastory miliknya, Hanna Faresha yang juga personaliti media sosial turut memohon maaf atas kekhilafan bapanya berhubung pendedahan adegan rogol dalam filem bersama pelakon, Raja Farah.

Malah, beliau juga tidak bersetuju atas tindakan bapanya itu serta sebagai wanita dia turut terkesan, namun berharap ia dijadikan pengajaran buat semua terutama ahli keluarganya.

“Saya dengan merendah hati memohon maaf atas kesilapan ayah saya. Sebagai seorang wanita, saya juga tidak bersetuju dengan kenyataan beliau dan terkesan.

“Saya berharap kesilapan ini dapat dijadikan pengajaran buat kita semua, terutama kepada keluarga kami,” tulisnya.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara itu diselesaikan sendiri oleh bapanya dan tidak diperbesarkan lagi serta memohon orang ramai menghentikan komen dan mesej makian terhadap mereka.

“Saya tiada di tempat kejadian dan tidak terlibat secara langsung dalam hal ini. Oleh itu biarlah beliau selesaikan hal ini dengan pihak yang terkesan. Harap tidak lagi diperbesarkan.

“Tolong hentikan komen dan DM yang tidak sepatutnya, cacian dan makian kepada saya dan ahli keluarga saya yang lain. Terima kasih,” katanya.

Semalam, Fauzi memohon maaf secara terbuka kepada Raja Farah termasuk suaminya berkaitan perkara tersebut dan menyatakan dirinya tiada niat untuk memalukan pelakon itu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights