‘Anisah nak jadi bomba macam ayah’

‘Anisah nak jadi bomba macam ayah’

SEORANG daripada empat anak Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, anggota bomba yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di Melaka semalam, mahu mengikut jejak bapanya menjadi anggota bomba.

“Anisah nak jadi (anggota) bomba macam ayah,” kata Anisah, seorang daripada dua anak perempuan Allahyarham.

Kanak-kanak itu berkata demikian ketika ditanya cita-citanya apabila dewasa kelak oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamed yang menyantuni isteri serta anak-anak Allahyarham hari ini.

Video tersebut turut dimuatnaik Kamel di Facebook miliknya.

Menerusi hantaran itu, Kamel memaklumkan beliau menziarahi ahli keluarga arwah.

“Menyantuni Puan Noraidah serta (empat cahaya mata) Daniel Hakimi, Ain, Danish dan Anisah.

Terdahulu, Mohd Diya, 47, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah yang tidak sedarkan diri selepas dibawa arus deras di Kampung Sungai Putat semalam, meninggal dunia, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain berkata, Allahyarham disahkan meninggal ketika menerima rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 3.11 pagi tadi oleh pegawai perubatan. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen