Dia tuduh, dia kena buktikan – JAIS

Dia tuduh, dia kena buktikan – JAIS

PENGARAH Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad meminta Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat yang mendakwa diraba penguatkuasa jabatan itu, supaya tampil membuktikan dakwaan tersebut.

Mohd Shahzihan berkata, usahawan kosmetik itu yang kini diberi suaka di Australia, perlu membuat laporan polis dan membuktikan dakwaannya jika benar pegawai JAIS melakukan gangguan seksual terhadapnya.

“Dia boleh balik ke Malaysia dan buat laporan polis atau buat apa jua laporan.

“Dia tuduh dia kena buktikan. Bila dia tuduh tanpa bukti, orang lain akan nafi tanpa bukti juga,” katanya seperti dilaporkan FMT hari ini.

Terdahulu, Sajat dalam satu temu bual bersama New York Times mendakwa kejadian itu disaksikan ibunya sendiri, yang menegur dan mempertikaikan perbuatan tersebut.

Sajat mendakwa, kejadian itu berlaku Januari lalu ketika dipanggil ke JAIS di mana dia dan beberapa ahli keluarga serta rakan menemui pegawai yang mendakwa menerima aduan awam mengenainya.

Dakwa usahawan trangender itu lagi, ketika disoal, sekurang-kurangnya tiga lelaki mengasarinya termasuk meraba dadanya sebelum dia dimasukkan ke tempat tahanan lelaki semalaman.

Sajat berjaya melepaskan diri ke Thailand pada Februari sebelum ditahan kerana kesalahan imigresen dan hampir dihantar pulang ke Malaysia.

Sementara itu, Mohd Shahzihan berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dan mendakwa pegawai penguat kuasa JAIS jika terbukti melakukan kesalahan tersebut seperti didakwa Sajat.

“JAIS sudah buat laporan polis (awal tahun lalu) berhubung dakwaan Sajat dan terserah kepada polis untuk siasat.

“Jadi terpulang kepada polis untuk dakwa pegawai saya sekiranya salah. Saya tiada masalah. Buat apa saya nak bela orang yang tidak betul,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Instagram/@nursajat24

Google+ Linkedin

Komen