KBS pandang serius isu gangguan seksual, rogol terhadap atlet negara

KBS pandang serius isu gangguan seksual, rogol terhadap atlet negara

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan tiada unsur gejala seksual berlaku terhadap atlet negara.

Menterinya, Datuk Seri Ahamd Faizal Azumu berkata, pihaknya memberi jaminan akan memastikan keselamatan atlet negara, supaya terhindar daripada jenayah rogol mahu pun unsur-unsur seksual yang menjurus kepada perbuatan terkutuk itu.

“Gurauan berkenaan rogol atau berunsur seksual tidak boleh diterima sama sekali dalam apa jua keadaan.

“Apa yang menjadi keutamaan saya dan pihak KBS Malaysia adalah keselamatan dan kebajikan atlet kita,” katanya di Facebook, hari ini.

Terdahulu, ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong mendedahkan seorang jurulatih sering kali membuat lawak berbaur lucah.

Menurut atlet itu, setiap kali jurulatih itu membuat lawak sedemikian, beliau hanya mampu mendiamkan diri atau berpura-pura untuk ketawa kerana berasa bimbang dan takut.

Lebih memeritkan keadaan, Pendelela mengakui pernah menegur tindakan jurulatih berkenaan, namun malangnya tindakan beraninya itu menyebabkan jurulatih berkenaan telah membulinya kembali.

“Pernah sekali tak tahan saya tegur dia, tapi kena buli balik. 7 tahun kemudian dia buat kes rogol.

“Tetapi paling sedih, dalam tujuh tahun itu dia buat hal setiap tahun. Tetapi kami atlet tidak boleh buat apa, sebab ‘back up’ besar dia adalah ketua jurulatih kami sendiri,” ciapnya di Twitter.

Hantaran tersebut turut mendapat reaksi daripada Menteri Kesihatan yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin yang berterima kasih kepada Pandelela kerana mendedahkan perkara tersebut. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen