Kerajaan lulus dua dasar utama perancangan bandar dan desa

MESYUARAT Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-39 hari ini meluluskan dua dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa iaitu Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN4) dan Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara-2 (RFZPPN-2) yang disediakan di bawah peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172].

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata MPFN Ke-39 turut bersetuju terhadap Cadangan Penubuhan Jawatankuasa Perancang Wilayah (JPW) bagi Negeri-Negeri di Utara Semenanjung (Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis).

Katanya, Rancangan Fizikal Negara (RFN) merupakan dokumen peringkat tertinggi dalam sistem perancangan guna tanah negara.

Menurutnya, selaras keperluan peruntukan di bawah subseksyen 6B(4) Akta 172, RFN hendaklah dikaji semula setiap lima tahun, selaras dengan penyediaan Rancangan Malaysia Lima Tahun atau jika dan apabila diarah oleh MPFN.

“RFN4 disediakan untuk menentukan arah tuju pemajuan fizikal termasuk ekonomi, alam sekitar dan sosial bagi seluruh kawasan perancangan di Semenanjung dan Labuan.

“Pelaksanaan RFN4 memerlukan penglibatan pelbagai pihak di setiap peringkat perancangan dan pembangunan, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan, negeri atau tempatan.

“Ini termasuklah pihak-pihak berkuasa perancangan di bawah Akta 172 yang mempunyai fungsi dan tanggungjawab tertentu bagi memastikan RFN4 diterjemah dan dilaksanakan secara berkesan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata RFN4 telah menggariskan tiga teras pembangunan, 11 hala tuju strategik, 39 strategi dan 120 tindakan meliputi segenap bidang perancangan fizikal, ekonomi, alam sekitar dan sosial.

Katanya, Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Ke-2 (RFZPPN-2) pula adalah rancangan strategik guna tanah yang menggariskan hala tuju penggunaan, pemuliharaan dan pengurusan sumberjaya persisiran pantai di Semenanjung dan Labuan.

“RFZPPN-2 digubal dengan mengambil kira aspek-aspek ancaman geobencana seperti hakisan pantai dan faktor perubahan iklim yang akan memberi kesan kepada sosio-ekonomi dan alam sekitar.

“Selain itu, Indeks Kerapuhan Persisiran Pantai atau Coastal Vulnerabitlity Index (CVI) juga merupakan instrumen penting yang diambilkira dalam RFZPPN-2,” katanya.

Perdana Menteri berkata fungsi utama JPW pula adalah untuk menyelaraskan isu-isu perancangan yang merentasi sempadan dua negeri atau lebih serta menasihati kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam wilayah itu mengenai rancangan pemajuan sesuai bagi wilayah tersebut.

Katanya, Ini adalah JPW keempat dipersetujui cadangan penubuhannya oleh MPFN, selepas JPW bagi Kawasan Persempadanan Antara Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (JPW NSMJ); JPW bagi Kawasan Tanah Tinggi Cameron Highlands, Kinta dan Lojing (JPW CEKAL); dan JPW bagi Kawasan Persempadanan Antara Daerah Pekan-Kuantan-Kemaman-Dungun-Jerantut (JPW PAKADJ).

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri serta menteri-menteri berkaitan yang sentiasa memberi komitmen terhadap nasihat, pandangan serta panduan diberikan oleh MPFN dalam perancangan pembangunan fizikal.

“MPFN akan terus berfungsi sebagai satu platform strategik perancangan pembangunan fizikal yang mencerminkan hasrat serta hala tuju negara bagi memanfaatkan Keluarga Malaysia keseluruhannya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights