MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin menangguhkan sementara pembayaran tunggakan cukai pendapatan masing-masing yang berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Penangguhan pembayaran itu bagi membolehkan permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu kes tunggakan cukai pendapatan itu didengar dan diputuskan Mahkamah Persekutuan, lapor Berita Harian.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Azizah Nawawi membenarkan penangguhan pembayaran berkenaan selepas mendapati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pembayaran ditangguhkan sementara.
Mereka memfailkan rayuan berkenaan dengan alasan ia mempunyai merit dan terdapat isu undang-undang yang serius dan harus diputuskan dengan muktamad oleh Mahkamah Persekutuan dalam konteks undang-undang cukai pendapatan dan Perlembagaan Persekutuan.
Pada 9 September lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak rayuan Najib dan Mohd Nazifuddin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN
Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan difailkan kedua-dua perayu (Najib dan Mohd Nazifuddin) dan tiada kekhilafan dalam penghakiman oleh kedua-dua hakim Mahkamah Tinggi yang harus diperbetulkan oleh mahkamah ini.
Bagaimanapun Najib dan Mohd Nazifuddin tidak perlu lagi membayar jumlah cukai itu berikutan panel berkenaan membenarkan permohonan kedua-dua perayu bagi penangguhan sementara pelaksanaan keputusan berkenaan. – Malaysiapost