Negara pariah bila pemimpin gagal dapatkan kembali kedaulatan yang hilang

Negara pariah bila pemimpin gagal dapatkan kembali kedaulatan yang hilang

Dr Kamarul Zaman Yusoff

JELAS tercatat dalam penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 iaitu, setelah menyemak bukti yang diserahkan oleh Malaysia dan Singapura, Batu Puteh asalnya milik Kesultanan Johor (the Sultanate of Johor had original title to Batu Puteh) dan ia tidak pernah dicabar oleh mana-mana Kuasa lain di rantau ini (was never challenged by any other Power in the region).

Apa yang menjadi masalah hanyalah kewujudan surat bertarikh 21 September 1953 daripada Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, yang menjawab surat Setiausaha Jajahan Singapura kepada Penasihat British Sultan Johor yang mahu tahu status Batu Puteh, bahawa Kerajaan Negeri Johor tidak menuntut pemilikannya (does not claim ownership).

Mengikut ICJ, surat ini menunjukkan bahawa pada 1953 Johor faham bahawa ia tidak mempunyai kedaulatan ke atas Batu Puteh (it did not have sovereignty over Batu Puteh), dan ditambah dengan perlakuan Malaysia dan Singapura sehubungan dengan pulau itu selepas 1953, yang mendorong ICJ memutuskan kedaulatan ke atasnya adalah milik Singapura.

Bayangkanlah betapa sedihnya Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar, setelah menerima keputusan itu, di mana masih terngiang-ngiang di telinga kita titah baginda sewaktu merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada 19 Jun 2008 ini:

“Suka beta ingatkan bahawa beta tidak lupa pada Batu Puteh. Batu Puteh bukan hak Singapura tetapi hak milik Johor. Sampai bila pun beta akan cari ikhtiar untuk mendapatkan semula pulau milik Johor itu.”

Dan setelah Sultan Iskandar mangkat, tekad untuk mendapatkan semula Batu Puteh ini diteruskan oleh Sultan Ibrahim yang sewaktu bertitah merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada 29 Mei 2014 mahukan keputusan ICJ dirayu kerana ia berpunca daripada orang luar yang tidak memahami sejarah Johor yang mengendalikannya.

Usaha untuk mendapatkan semula Batu Puteh ini menjadi rancak setelah Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015 dalam mana beliau dan lima penyelidik beliau telah berkunjung ke London mulai Julai 2016 bagi menyemak lebih 3,000 dokumen yang baharu dideklasifikasikan di Arkib Negara United Kingdom.

Hasil daripada kerja keras mereka, tiga dokumen baharu telah ditemui dari 4 Ogos 2016 ke 30 Januari 2017, iaitu surat menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada tahun 1958, satu laporan kejadian yang difailkan oleh seorang pegawai tentera laut British pada tahun 1958 dan satu peta beserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an.

Tiga dokumen baharu ini akan membuktikan bahawa selepas tahun 1953 pihak British dan Singapura sendiri mengakui bahawa Batu Puteh bukanlah milik Singapura (Officials at the highest levels in the British colonial and Singaporean administration appreciated that Batu Puteh did not form part of Singapore’s sovereign territory during the relevant period).

Ekoran penemuan fakta baharu ini, Malaysia telah memfailkan permohonan semakan semula penghakiman ICJ pada 2 Februari 2017 di mana ICJ mengumumkan pada 5 April 2018 bahawa ia memperuntukkan tempoh empat hari untuk permohonan ini didengari bermula pada 11 Jun 2018 sebelum Dr Mahathir yang baharu berkuasa tiba-tiba membatalkannya pada 28 Mei 2018.

Sesungguhnya tindakan Dr Mahathir membatalkan permohonan semakan semula ini amat sukar difahami kerana ia terang-terang bercanggah dengan pendirian awal beliau sendiri mengenainya selain terang-terang bercanggah dengan janji-janji manis yang dilafazkan oleh Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh beliau dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Bagaimana agaknya Dr Mahathir boleh membiarkan Batu Puteh terlepas ke tangan Singapura selama-lamanya dan menyanggah titah Sultan Johor bila Janji 11 Manifesto PH menyebut PH akan “sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Raja-Raja Melayu di tempat tertinggi” manakala Janji 58 menyebut PH akan “berpegang dengan prinsip bahawa sempadan negara dan kedaulatan Malaysia adalah perkara paling asas yang tidak boleh dikompromi”?

Lupakah Dr Mahathir bahawa beliau sendiri mengkritik keras wakil Malaysia pada 31 Mei 2008 kerana tidak mempersoalkan kesahihan surat bertarikh 21 September 1953 daripada Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor kerana, kata beliau, “Our official was probably not independent and was advised by the British to verify that Batu Puteh was not ours”?

Lupakah Dr Mahathir bahawa beliau sendiri mengkritik keras keputusan ICJ pada 31 Julai 2008 yang disifatkan mengejutkan beliau kerana keputusan itu “didasarkan kepada satu surat yang ditulis pegawai rendah Johor semasa di bawah jajahan British kepada pegawai British di Singapura” sedangkan “sepatutnya ianya hendaklah dititah dan ditulis di bawah kuasa Sultan”?

Mengapakah setelah peluang terbuka luas untuk Malaysia mendapatkan kembali Batu Puteh Dr Mahathir melepaskannya tanpa memberikan apa-apa penjelasan yang konkrit serta hanya membiarkan Timbalan Menteri Undang-Undang menjawabnya dan tidak berani menjawabnya sendiri bila isu ini ditimbulkan di Dewan Negara pada 3 September 2018?

Mengikut Timbalan Menteri Undang-Undang, setelah Mohamed Apandi diarahkan untuk bercuti, satu taklimat telah diberikan oleh Jabatan Peguam Negara kepada Dr Mahathir pada 17 Mei 2018 di mana keputusan untuk tidak meneruskan kes tersebut dibuat “setelah mengambil kira dengan teliti pandangan dan nasihat yang diberikan oleh Dr Brendan Plant” (“orang luar”).

Lebih teruk lagi ialah bila Dr Mahathir, di dalam usaha beliau untuk mempertahankan kebatilan tindakan beliau, telah sama ada menunjukkan kenaifan beliau atau cuba membohongi rakyat dengan menyebut bahawa sewaktu Malaysia dan Singapura bersetuju merujukkan kes ini ke ICJ ada perjanjian keputusan ICJ adalah muktamad dan tidak akan ada rayuan terhadapnya.

Memang betul ada di dalam Artikel 60 Statut ICJ bahawa keputusan ICJ adalah muktamad dan tidak boleh dirayu (the judgment is final and without appeal), tetapi pada masa yang sama Artikel 61 Statut ICJ membenarkan semakan semula (revision) dalam tempoh 10 tahun dari tarikh penghakiman sekiranya faktor-faktor berikut dipenuhi:
(1) Ia diasaskan kepada penemuan fakta baharu yang boleh menjadi faktor penentu, di mana fakta ini, waktu penghakiman dibuat, tidak diketahui oleh ICJ dan pihak yang mahu membuat semakan semula, dan ketidaktahuan ini tidak berpunca daripada kelalaian. (It is based upon the discovery of some fact of such a nature as to be a decisive factor, which fact was, when the judgment was given, unknown to the Court and also to the party claiming revision, always provided that such ignorance was not due to negligence.)
(2) Ia dibuat dalam tempoh kurang enam bulan fakta baharu mula ditemui. (It is made at latest within six months of the discovery of the new fact.)

Dr Mahathir tidak boleh menggunakan hujah “Jika sebuah negara tidak hormati janji, tidak ada negara lain yang akan buat perjanjian dengan negara berkenaan. Ia menjadi negara pariah.” kerana janji untuk tidak merayu tidak menjadi isu, sebaliknya apa yang menjadi isu ialah ketidaktahuan beliau membezakan rayuan (appeal) dan semakan semula (revision).

Begitu juga yang sebenarnya membuat sesebuah negara menjadi negara pariah ialah apabila pemimpin tertingginya gagal mengambil peluang untuk mendapatkan kembali kedaulatan negaranya yang hilang setelah peluang itu terbuka luas bila semakan semula (revision) yang kuat yang memenuhi semua faktor yang dikehendaki oleh Statut ICJ difailkan oleh negaranya.

Apatah lagi bila hujah substantif yang kini beliau berikan untuk mempertahankannya, dan untuk menyerang pihak lain, ialah hujah lemah seumpama “kerajaan Johor melalui surat telah menyatakan bahawa Johor tidak menuntut Batu Puteh sebagai milik kerajaan Johor” yang beliau sendiri telah sebelumnya pertikaikan selepas keputusan ICJ itu dibuat.

Sebab itulah seluruh rakyat perlu menyokong penuh keputusan kerajaan untuk mewujudkan pasukan petugas khas bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian berhubung kes Batu Puteh selain mengkaji tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan di dalam kes ini.

Ucapan setinggi-tinggi tahniah kita ucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang telah dalam waktu yang singkat menunjukkan keberanian beliau untuk membongkar kisah sebenar yang menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh dan kehilangan peluang untuk menuntutnya kembali serta untuk meneliti opsyen-opsyen yang ada.


Penulis ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR)
(Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapos
t)

Google+ Linkedin

Komen