PAS pilih jalan perdamaian hadapi PRU15

PAS pilih jalan perdamaian hadapi PRU15

PAS bersedia untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menggunakan pendekatan muwajahah silmiah, iaitu melalui jalan perdamaian untuk menegakkan Islam, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, ia penting dalam membawa pendekatan secara damai dan merupakan langkah yang aktif bagi menarik sokongan masyarakat menerusi konsep demokrasi.

Jelasnya, usaha menyatukan orang Islam bukan satu kerja yang mudah memandangkan Islam telah lama dipengaruhi oleh penjajah.

Namun, katanya, kini pandangan mengenai agama tiada kaitan dengan politik dan sudah tidak lagi kedengaran lagi.

“Serta hukum Islam tidak sesuai di dalam politik dan juga tidak berani diluahkan secara umum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perasmian Mesyuarat Agung tahunan PAS kawasan-kawasan di seluruh negara.

Abdul Hadi berkata, keadaan ini menjadi tanda aras kejayaan PAS walaupun bukan semua rakyat Malaysia adalah ahli parti itu.

“Kejayaan itu dapat dicapai hasil daripada kerjasama yang dibina melalui parti politik Islam di tanah air.

“Penyatuan parti politik di bawah gagasan sejahtera Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) adalah merupakan kejayaan penting dalam usaha penyatuan ummah di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, muafakat yang dijalinkan mestilah turut disertai oleh semua kumpulan Islam, Bumiputera dan orang bukan Islam untuk diajak bersama.

“Bukan sekadar Umno dan Bersatu, selari dengan sifat dan ciri PAS sebagai sebuah parti Islam.

“Justeru, kerjasama menjadi tonggak penting sehingga PN berjaya mengambil alih pemerintahan negara, perlu dijaga dan semua pihak juga perlu berperanan sebaiknya bagi merealisasikan cita-cita untuk menegakkan Islam serta membina negara sejahtera,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen