‘PH mesti tolak pengkhianat’ – Anthony Loke

‘PH mesti tolak pengkhianat’ – Anthony Loke

SETIAUSAHA Organisasi DAP, Anthony Loke menegaskan Pakatan Harapan (PH) perlu menolak pengkhianat dalam gabungan itu.

Loke berkata, kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua bahawa PH harus bekerjasama dengan mana-mana pihak yang dianggap boleh membawa kemenangan kepada gabungan itu, adalah bersifat peribadi.

“Itu pandangan peribadi Tian Chua. DAP sudah membuat keputusan yang jelas dan terang semasa mesyuarat Majlis Presiden PH. PH mesti menolak pengkhianat. Noktah.

“PH mesti berkempen berdasarkan polisi bersama dan trek rekod sepanjang 22 bulan memerintah Melaka di bawah Ketua Menteri Adly Zahari,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Tian Chua berkata PH harus bekerjasama dengan mana-mana pihak yang dianggap boleh membawa kemenangan kepada gabungan itu bagi mengembalikan mandat rakyat yang diperoleh pada 2018.

Tian Chua berkata, mengenai taktik pula, hal itu akan dibincangkan secara terperinci namun matlamat utama ialah bersatu menghadapi BN atau Perikatan Nasional (PN) dan mencapai kemenangan.

“Secara taktik kita harus bergabung dengan mana-mana pihak yang boleh memberi PH kemenangan.

“Itu taktik kita harus pertimbangkan di lapangan (iaitu) dengan apa saja cara yang terbaik untuk menang kerusi yang paling banyak,” katanya.

Kelmarin, DAP menolak ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, penolakan Norhizam sebagai calon akan dibawa ke Majlis Presiden PH.

Norhizam yang juga bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka bertindak menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada tahun lalu dan meninggalkan PH selepas mengaku hanya menjadi barua sepanjang bersama parti berkenaan. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen