PM santuni mentor, bekas boss

PM santuni mentor, bekas boss

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam tadi menyantuni mentornya, Tan Sri Sabbaruddin Chik dalam satu majlis makan malam.

Menurut perkongsian di Facebook Setiausaha Politik PM, Datuk Anuar Yunus, Sabbaruddin yang kini berusia 80 tahun adalah individu yang mengangkat Ismail Sabri dalam politik dan dianggap sifu politik beliau.

“Sewaktu Tan Sri Sabbaruddin menjadi Menteri Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, boss saya (Ismail Sabri) menjadi Setiausaha Politik beliau dari 1995 hingga 1999.

“Pada pertemuan selama hampir dua jam itu, mereka berbual pelbagai perkara. Sudah tentu mengenang kisah lama, cerita suka-duka dan pahit-manis dalam politik.

“Mereka turut berbincang mengenai senario politik terkini termasuk konsep Keluarga Malaysia yang dibawa dalam pentadbiran kerajaan hari ini,” katanya menerusi hantaran itu.

Anuar berkata, ketika pulang Ismail Sabri membantu menolak kerusi roda Sabbaruddin ke kenderaannya, menjadikan satu momen cukup indah bagaimana anak murid yang kini bergelar Perdana Menteri mengenang budi dan jasa bekas bossnya.

“Melihat layanan YAB PM itu, mengingatkan saya satu perkara iaitu ‘apa guna ilmu yang dimiliki setinggi langit andai diri tidak dihiasi dengan adab mulia’. Masih terlalu cetek ilmu saya dalam politik berbanding YAB PM.

“Semoga Tan Sri Sabaruddin Chik dan YAB PM diberikan kesihatan terbaik oleh Allah SWT. Ameen,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen