PRN Melaka: PAS mahu 5 kerusi, Bersatu mahu 8, Umno dijangka bertanding solo

PRN Melaka: PAS mahu 5 kerusi, Bersatu mahu 8, Umno dijangka bertanding solo

PAS dan Bersatu masing-masing dilaporkan menuntut lima dan lapan kerusi sebagai syarat bekerjasama dengan Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sehubungan itu, Umno tidak bersetuju dengan permintaan tersebut dan dijangka bertanding secara solo atas lambang Barisan Nasional (BN) pada PRN tersebut yang dijadual berlangsung pada 20 November ini.

Sumber Majlis Tertinggi (MT) Umno memberitahu Malaysiapost, mustahil parti itu dapat memenuhi tuntutan syarat yang diletakkan Bersatu mahupun PAS jika ingin bekerjasama berhadapan Pakatan Harapan (PH) pada PRN itu.

Katanya, tuntutan kedua-dua parti kompenen Perikatan Nasional (PN) tersebut agak keterlaluan dan melampau.

“PAS nak bertanding lima kerusi, Bersatu pula nak lapan kerusi. Lebih parah Bersatu nak bertanding di kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Masjid Tanah dan Jasin.

“Di Masjid Tanah, BN menang kesemua lima kerusi DUN pada PRU14 lalu, di Jasin pula BN menang empat daripada lima kerusi. Kerusi-kerusi itu adalah kubu kuat Umno, mustahil kita bersetuju bekerjasama dengan PN,” katanya.

Untuk rekod, DUN Melaka mempunyai 28 kerusi.

Terdahulu hari ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu sedia berdepan saingan tiga penjuru, jika tiada kata putus diberikan Umno berhubung kerjasama menjelang PRN Melaka.

PMuhyiddin berkata PN sedia menjalinkan kerjasama dengan Umno, namun sehingga kini tidak mendapat jawapan jelas mengenainya sedangkan masa semakin suntuk untuk berdepan PRN. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen