PRN Melaka: Umno tak beri kata putus, PN sedia berdepan tiga penjuru

PRN Melaka: Umno tak beri kata putus, PN sedia berdepan tiga penjuru

PERIKATAN Nasional (PN) sedia berdepan saingan tiga penjuru, jika tiada kata putus diberikan Umno berhubung kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN sedia menjalinkan kerjasama dengan Umno, namun sehingga kini tidak mendapat jawapan jelas mengenainya sedangkan masa semakin suntuk untuk berdepan PRN.

Jika tidak dapat dielak, Muhyiddin berkata PN yang dibarisi Bersatu, PAS dan Gerakan tiada pilihan dan bersedia berdepan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno serta Pakatan Harapan (PH).

“Perkara itu (kerjasama) telah disuarakan dari peringkat awal bahawa kami sedia bekerjasama, persoalan berbangkit apakah pihak sebelah sana (Umno) sedia atau tidak, kita tak dapat jawapan jelas.

“Masa semakin singkat… (SPR) sudah umum tarikh penamaan calon dan pengundian. Bagi saya kita tak boleh lengah, kalau tiada isyarat jelas, kita akan teruskan ikut keputusan dibuat PN Kebangsaan.

“Parti-parti dalam PN juga setuju, kalau kita perlu berhadapan tiga penjuru, kita sedia hadapinya,” katanya dalam sidang media di Melaka yang disiarkan secara langsung di Facebooknya hari ini.

Jumaat lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN Melaka bakal diadakan pada 20 November ini susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu.

Pengundian awal diadakan pada 16 November manakala penamaan calon pada 8 November.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata PN perlu menghadapi realiti politi untuk bertanding sendirian walaupun menjadi hasratnya untuk berbaik-baik dengan semua, selaras perpaduan ummah.

“Namun kita tak mungkin berlambat-lambat (membuat keputusan). Tapi hari penamaan calon nanti kita tengoklah sama ada akan ada gabungan atau tidak, namun bagi PN sebagai gabungan politik, kita sudah sedia hadapi tiga penjuru,” katanya.

Diminta mengulas sama ada pertembungan tiga penjuru akan memberi kelebihan kepada PH, bekas Perdana Menteri itu berkata ia tidak semestinya berlaku jika diambil kira sentimen rakyat Melaka ketika ini.

“PRN diadakan kerana tindakan pihak tidak bertanggungjaweab yang menyebabkan kerajaan negeri jatuh, mereka (rakyat Melaka) marah, sewajarnya ketika pandemik mula nak selesai, wajar bagi masa (pemulihan), jangan fikir soal kuasa.

“Tapi bila sudah jadi begitu, pilihan raya kena diadakan. Saya fikir kita kena ambil pendirian tegas dan jelas, sama ada terkesan atau tidak (tiga penjuru), dalam politik tak boleh elak.

“Dua penjuru lain keputusan, tiga penjuru juga lain keputusan. Rakyat ada banyak pilihan untuk tentukan masa depan mereka,” katanya lagi. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen