Sah, PH tak calonkan Norhizam pada PRN Melaka

Sah, PH tak calonkan Norhizam pada PRN Melaka

PAKATAN Harapan (PH) memuktamadkan tidak akan mencalonkan Datuk Norhizam Hassan Baktee bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Majlis Presiden PH yang bermesyuarat hari ini mencapai kata sepakat dalam menentukan kedudukan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, sama ada dicalonkan bertanding atas tiket PH atau sebaliknya.

“PH telah menerima pandangan semua pihak yang tegas tentang perkara ini. Perlu ditekankan kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada mana-mana individu.

“Oleh kerana mereka bukan ahli mana-mana parti komponen PH, maka soal pencalonan mereka dalam PRN tidak berbangkit di dalam mesyuarat hari ini.

“Bagaimanapun Majlis Presiden turut memutuskan Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak akan dijadikan calon PH dalam PRN Melaka,” kata Majlis Presiden PH hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Kelmarin, DAP menolak Norhizam sebagai calon PH pada PRN Melaka.

Norhizam yang juga bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada tahun lalu dan meninggalkan PH selepas mengaku hanya menjadi barua sepanjang bersama parti berkenaan.

Sementara itu, PH juga bersetuju melantik Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari mengetuai jentera PRN Melaka yang bermula pada 8 November iaitu hari penamaan calon.

“PH juga bersetuju menghantar wakil untuk bertemu serta berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Melaka.

“Ini bagi menyampaikan pandangan PH serta memastikan prinsip demokrasi dijunjung, hak parti-parti politik bertemu pengundi tidak terjejas, dan perjalanan pilihan raya adil kepada semua pihak terutama ketika Melaka berada di dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen