TAMAN Negara di Johor dibenarkan beroperasi semula mulai 1 November ini.
Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Hanis Musalman Salehan, berkata ia meliputi Taman Negara Johor Endau-Rompin Peta, Taman Negara Johor Endau-Rompin Selai, Taman Negara Johor Gunung Ledang dan Taman Negara Johor Tanjung Piai yang dibuka sepenuhnya.
“Manakala, bagi Taman Negara Johor Pulau Kukup dibuka hanya bagi aktiviti memancing dan menaiki bot,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pembukaan Taman Negara Johor itu adalah selaras dengan kebenaran yang termaktub di bawah garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Justeru, pengunjung perlu mematuhi syarat yang ditetapkan, antaranya lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dan sentiasa memakai pelitup muka.
“lndividu yang sudah menerima vaksinasi lengkap dibenarkan membawa masuk anak berusia bawah 18 tahun bagi sebarang aktiviti dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan, jika orang ramai ingin mengetahui maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang Perbadanan Taman Negara Johor iaitu www.johornationalparks.gov.my. – Malaysiapost