Dana PULIH belanja hampir RM1.5 juta untuk kegunaan hospital

AGENSI Islam melalui Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah mewujudkan Dana PULIH (Peralatan Untuk Kelengkapan dan Pemulihan Hospital) di bawah Sijil Wakaf Tunai Kesihatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata ia bertujuan menyediakan kelengkapan dan peralatan hospital khususnya kepada hospital-hospital rujukan bagi mengendalikan kes Covid-19.

Sehingga 30 September 2021, katanya, sejumlah RM1,417,600 dibelanjakan untuk kegunaan Hospital Sungai Buloh (RM275,200); Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (RM634,400); Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan (96,500) serta Hospital Kajang (RM11,500).

“Selaras dengan Pelan Pemerkasaan Pengurusan Wakaf diumumkan dalam Belanjawan 2021, YWM sedang giat menjalinkan kerjasama dengan pelbagai syarikat berkaitan Kerajaan dan syarikat korporat.

“Sebagai contoh, melalui kerjasama YWM dengan Kenanga Investors Berhad dan Maybank Asset Management, sektor kesihatan telah dijadikan sebagai salah satu sektor pengagihan dana wakaf.

“Kesemua usaha pembangunan wakaf ini dilakukan dengan mengiktiraf kedudukan Majlis Agama Islam Negeri sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Idris berkata, ia bagi membolehkan kesemua cadangan dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menjadi kenyataan.

“Konsep ‘Cooperative Federalism’ perlu diaplikasi bagi membolehkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam pembangunan tanah wakaf direalisasikan secara efektif dan efisien serta dengan penuh tanggungjawab,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Idris Ahmad

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights