DEBAT isu kabotaj antara Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akan disiarkan secara langsung di Astro Awani pada jam 9 malam, 2 November ini.
Perkembangan terbaharu itu dikongsi Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang mewakili Guan Eng dalam menguruskan debat berkenaan bagi pihak Ahli Parlimen Bagan tersebut.
Nie Ching menerusi hantaran di Facebooknya sebentar tadi memaklumkan debat tersebut tidak lagi disiarkan di TV3, sebaliknya beliau telah mendapat persetujuan untuk memancarkannya secara langsung melalui Astro Awani.
“TV3 beritahu saya mereka bersedia untuk menganjurkan debat antara LGE dan WKS pada 2 November jam 9 malam, tetapi hanya di platform digital dan tidak akan disiarkan secara langsung di TV.
“Saya pula telah maklumkan kepada TV3 bahawa LGE tiada masalah dengan tarikh dan masa dicadangkan, tetapi hasrat LGE debat tersebut disiar secara langsung di TV dan di platform digital. Ini juga kehendak YB WKS pada 7 Oktober.
“Oleh yang demikian, saya minta diberi masa untuk hubungi media lain. Akhirnya saya dapat cari media yang setuju anjurkan debat tersebut dan siarkan secara langsung di TV dan di platform digital mereka,” katanya.
Sehubungan itu Nie Ching berkata Ka Siong yang juga Presiden MCA tidak perlu putar belit dengan kenyataan separuh benar berhubung debat berkenaan.
“Jangan berdolak-dalik lagi. 2 November @ 9pm @ Astro Awani, siaran langsung di TV dan di platform digital. Hanya katakan, setuju atau tidak. Itu sahaja,” katanya.
Pada 30 September lalu, Ka Siong secara terbuka mencabar Guan Eng untuk berdebat berhubung isu dasar kabotaj negara.
Cabaran itu dibuat susulan Guan Eng tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat oleh Ka Siong berhubung isu terbabit di Dewan Rakyat. – Malaysiapost