Najib harap polis dedah hasil siasatan kes LHDN

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berharap polis dapat memaklumkan hasil siasatan terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung kes pengiraan taksiran penalti cukai yang didakwa ‘tidak masuk akal’ terhadapnya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau juga tertanya-tanya siapakan individu yang mengarahkan LHDN untuk memalsukan dokumen bagi ‘mengenakannya’, sedangkan beliau adalah seorang pembayar cukai yang patuh.

“Siapakah individu-individu yang arahkan LHDN berniat jahat untuk memalsukan dokumen demi mengenakan saya dengan pengiraan taksiran penalti cukai tak masuk akal biarpun saya membayar cukai saya tanpa gagal tiap-tiap tahun?

“Harap pihak polis akan maklum nanti setelah siasatan mereka selesai,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan permohonan Najib dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin menangguhkan sementara pembayaran tunggakan cukai pendapatan masing-masing yang berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Penangguhan pembayaran itu bagi membolehkan permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu kes tunggakan cukai pendapatan itu didengar dan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Azizah Nawawi membenarkan penangguhan pembayaran berkenaan selepas mendapati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pembayaran ditangguhkan sementara.

Media sebelum ini melaporkan, Najib membuat satu laporan polis terhadap LHDN pada 8 September lalu selepas menerima maklumat pegawai lembaga itu menerima tekanan daripada ahli politik yang mahu dirinya dikenakan tindakan undang-undang, termasuk penalti cukai.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut beliau membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

Berikutan itu, pada 22 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan Najib perlu membayar tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada kerajaan Malaysia. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights