SELEPAS menduda selama dua tahun, pelakon Fizo Omar sah mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hatinya malam tadi.
Berdasarkan perkongsian di Instagram Story wanita yang bernama Fazeeranazriaz, mengesahkan mereka berdua telah diijabkabulkan sebagai suami isteri.
Gambar pasangan pengantin baharu itu anggun berpakaian lengkap busana pengantin berwarna putih duduk di atas pelamin cukup menjawab segala teka-teki berhubung status sebenar bekas hero remaja itu.
Instagram Story isteri Fizo itu turut berkongsi gambar kedua memaparkan kemerahan inai menghiasi 10 jari tangannya.
Terdahulu, lewat malam tadi, Fizo, 36, memuat naik gambar dia lengkap berbaju Melayu putih bersama anaknya, Wan Maryam, 4, di Instagram.
Tambah menjadi tanda tanya, Fizo memuat naik gambar di Instagram Story dengan kapsyen, “Ok abe Joe (abang Fizo) left group recond (tinggalkan kumpulan ‘terpakai’) dulu ok. Apa-apa roger ok.”
Berdasarkan komen di Instagram, Fizo dikatakan bernikah dengan wanita itu yang juga bekas pramugari dari Sarawak dan majlis pernikahan dipercayai berlangsung di Janda Baik, Pahang.
Bagaimanapun, setakat ini Fizo belum mendedahkan secara rasmi perincian mengenai latar belakang isterinya kepada umum.
Fizo memegang status duda sejak Julai 2019 apabila ikatan perkahwinannya dengan ahli perniagaan, Mawar Karim pada November 2013 terlerai dengan perceraian talak satu. – Malaysiapost