PENGERUSI Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak, menjelaskan beliau bukan Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun akan membantu di lapangan berkempen habis-habisan untuk memastikan kemenangan BN.
Menurutnya, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, adalah Pengarah bagi PRN Melaka dan pihaknya akan bekerjasama dalam pilihan raya kali ini.
“Saya nak jelaskan Pengarah PRN Melaka bagi BN adalah Datuk Seri Mohamad Hasan itu yang telah diputuskan, manakala saya dikehendaki untuk turun dan bantu kempen habis-habisan dan saya akan bekerjasama seerat-eratnya dengan beliau.
“Saya percaya Perdana Menteri juga akan turun untuk bantu dalam kempen dan kita akan buat kempen secara bersama tetapi saya akan banyak turun ke lapangan seperti yang dikehendaki Umno dan BN.
“Apa pun ia adalah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya yang kini berada di Melaka.
Ditanya sama ada beliau akan menggunakan formula ‘Bossku’ yang mendapat sambutan terutama golongan muda dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini, beliau berharap ia masih mendapat sambutan akar umbi.
“Formula Bossku merupakan satu gerakan di peringkat akar umbi terutama di kalangan orang muda. Ada yang kata ia satu faktor dalam kemenangan PRK sebelum ini.
“Tetapi untuk PRN ini kita sudah lama berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan saya tidak buat apa-apa program Bossku agak lama.
“Kita tengok macam mana keberkesanan atau impaknya nanti, saya tak berani nak kata tetapi harapnya dapat sambutan bila saya turun ke akar umbi nanti,” katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada BN akan tetap bergerak solo dalam PRN Melaka, Najib menyerahkan perkara itu kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
“Apa bentuk sama ada kita bertanding sendiri atau dengan dengan kerjasama pihak lain Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) saya tidak sentuh kerana itu bidang kuasa MKT Umno untuk memutuskannya.
“Saya serah kepada mereka atas kebijaksanaan untuk menentukan apa kaedah atau formula yang terbaik. Apa pun Umno dan BN mesti bersedia sebagai satu entiti politik perlu bersedia dalam apa jua keadaan,” katanya.
Beliau percaya dengan agenda yang dibawa Umno dan BN adalah agenda terbaik dan ia sudah terbukti selama ini serta rakyat ada peluang buat perbandingan pada zaman Pakatan Harapan (PH) zaman Perikatan Nasional (PN) dan zaman BN.
“Rata-rata rakyat kata mereka rindu zaman BN.
“PRN ini akan jadi medan pembuka tirai kepada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang kerana kita berada diambang PRU,” katanya. – Malaysiapost