Pemuda Umno ziarah penduduk terjejas banjir di Sepang

PEMUDA Umno Sepang bersama Sukarelawan Skuad Sabil dan Puteri Umno Sepang turun padang bagi membantu penduduk yang terkesan akibat bencana banjir di sekitar Kampung RTB Labu Lanjut dan Kampung Geching, Sepang, hari ini.

Khidmat membantu masyarakat itu turut disertai Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagi menziarah penduduk yang terkesan.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Ketua Pemuda Umno Sepang, Hydier Hamid dan barisan pemuda Umno Sepang.

“Mereka menjadi tonggak utama dan sentiasa berkhidmat untuk masyarakat tempatan dalam aktiviti pembersihan sejak dilanda banjir bermula Khamis lalu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berharap ahli-ahli Umno terus istiqamah dalam perjuangan dan terus berbakti untuk rakyat.

Pada Khamis lalu, 11 kawasan di mukim Labu dan Dengkil dilaporkan terjejas akibat banjir.

Lokasi banjir di mukim Labu adalah membabitkan Kampung Chincang, Kampung Salak Tinggi, Kampung Giching dan Taman Dataran Abadi, Labu Lanjut.

Mukim Dengkil pula membabitkan Kampung Sri Tanjong, Kampung Chemperai, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Ampar Tenang, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kota Warisan, Kampung Orang Asli Bukit Tampoi, Kampung Orang Asli Sungai Melut dan Kampung Orang Asli Batu 28 Jenderam Hilir. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights