KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) Melaka telah melaksanakan banyak inisiatif untuk membantu rakyat, khususnya masyarakat Melayu dan Bumiputera sepanjang 22 bulan mentadbir negeri itu.
Bagaimanapun kata bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, usaha-usaha itu telah gagal disebabkan mandat rakyat dikhianati.
“Sebenarnya dalam tempoh 22 bulan itu banyak inisiatif untuk rakyat telah berjaya kita buat tapi malangnya bila mandat rakyat telah diusik, banyak rancangan itu tidak dapat dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Adly yang juga Pengerusi PH Melaka berkata ketika mula mengambil alih daripada Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), lebihan wang kerajaan negeri hanya RM18 juta.
Katanya, hanya selepas setahun PH mentadbir Melaka, lebihan wang kerajaan negeri meningkat menjadi RM60 juta.
“Untuk bantu orang Melayu dan Bumiputera saya tubuhkan Dana Harta Bumiputra. Dalam tempoh setahun kita berjaya kumpul RM33 juta.
“Tujuan kita tubuhkan dana ini adalah khusus untuk bantu orang Melayu dan Bumiputra membuat pinjaman perumahan dan pinjaman mikro perniagaan,” katanya.
Terdahulu beliau melancarkan jentera pilihan raya PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan pada 20 November depan. – Malaysiapost