Arwah insan seni yang amat saya sayangi’ – Bell Ngasri

Nurul Huda Abhar

RASA kehilangan menyelubungi industri seni tempatan hari ini apabila pengarah dan penerbit terkenal, Mamat Khalid meninggal dunia pada usia 58 tahun akibat serangan jantung pada 12.30 malam tadi.

Pemergian Mamat cukup dirasai penggiat seni tanah air khususnya pelakon dan kru penggambaran yang pernah terlibat bersama-sama pengarah itu dalam pembikinan filem dan telemovie.

Rakan-rakan artis tidak ketinggalan memuat naik ucapan takziah menerusi laman Instagram, sebagai tanda menghormati dan berdukacita atas pemergian seniman hebat itu.

Menurut Datuk Aaron Aziz, beliau menyuarakan rasa terkilan kerana belum pernah berkesempatan untuk bekerja di bawah arahan Mamat sebelum ini.

“Innalillahiwainnailahirojiun. Tiada rezeki untuk kami bekerjasama selama ini, ingin berlakon bawah arahan arwah. Semoga Allah ampunkan segala dosa-dosanya dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang dikasihiNya,” katanya.

Bell Ngasri yang memegang watak ‘Barkoba’ dalam karya 16 Puasa arahan Mamat menggambarkan sutradara hebat itu adalah insan seni yang amat disayanginya.

Bell mengakui terkejut dengan berita itu kerana mereka dikatakan akan kembali bekerjasama untuk penggambaran Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.

“Namun Allah lebih menyayangi beliau. Perancangan Allah lebih hebat buat insan seni hebat ini. Salam takziah buat family @amenkhalid,” katanya.

Bagi Rozita Che Wan atau Che ta, pemergian Mamat ibarat kehilangan sebutir permata di dalam arena seni.

“Salam takziah. Semoga Abang tenang di sana. Perginya sebutir permata di arena seni. Abang akan tetap menjadi kenangan buat kami.. dan saya,” katanya yang turut memuat naik gambar bersama Allahyarham Mamat.

Pelakon dan pengacara Didie Alias menerusi hantaran di Instagram juga memberitahu terkejut mendengar berita pemergian Allahyarham Mamat yang diterimanya pada malam tadi.

“Allahuakbar baru sahaja dapat berita @khalidmamat telah pergi meninggalkan kita. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat beliau. Semoga beliau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” ujar Didie.

Di samping itu, antara selebriti yang turut mengucapkan takziah atas pemergian Mamat adalah Nora Danish, Datuk Hattan, Nazim Othman, Ropie, Jasmin Hamid, Saiful Apek, Amar Baharin, Aamyra Rosli, Shuk Sahar dan Jue Aziz.

Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, Perak, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Allahyarham juga merupakan adik kepada kartunis terkenal negara, Datuk Mohammad Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat.

Dikatakan beliau rebah ketika berada di restoran miliknya di Sarang Art Hub, Slim River sebelum dikejarkan ke hospital.

Allahyarham sebelum ini pernah beberapa kali menerima rawatan di hospital akibat masalah paru-paru dan jantung.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah, Sungai Rokam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh, Ipoh. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights