WARGA tempatan dikatakan tidak berminat bekerja di restoran nasi kandar atau kedai mamak menyebabkan krisis kekurangan pekerja di premis-premis tersebut di seluruh negara.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata pihaknya sudah berusaha menawarkan kerja kepada warga tempatan namun tidak mendapat sambutan.

Beliau mendakwa, meskipun gaji ditawarkan agak lumayan, namun warga tempatan tidak berminat untuk bekerja di restoran nasi kandar berbanding di kedai kopi jenama luar negara atau restoran makanan segera, lapor Awani.
“Saya tak tahu nak komen dalam isu ini, kita bukan nak perlekehkan orang kita tapi orang kita ini mungkin sudah selesa sangat agaknya.
“Warganegara kita mereka sudi bekerja di restoran (berjenama luar negara) dan restoran makanan segera terkenal yang lain.
“Apa beza dan apa hinanya sektor restoran mamak ni, saya pun tak fahamlah,” katanya.
Jawahar berkata, pihaknya amat berminat untuk mendapatkan warga tempatan bekerja di restoran nasi kandar kerana ia lebih menjimatkan berbanding pekerja warga asing.
Namun katanya, disebabkan warga tempatan tidak berminat maka khidmat warga asing diperlukan.
“Hakikatnya kalau warganegara kita sudi bekerja dengan gaji lumayan, kami tidak perlu bergantung dengan pekerja asing.
“Sebenarnya kos pengambil pekerja asing jauh lebih tinggi daripada pekerja tempatan, kami tak perlu buat medical (pemeriksaan perubatan) saban tahun nak perbaharui semua ini,” katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan perniagaan hampir 200 pengusaha restoran nasi kandar di Pulau Pinang dikatakan berdepan masalah untuk terus bertahan berikutan kehilangan hampir separuh pekerja khususnya perkerja warga asing. – Malaysiapost