LARANGAN majlis sosial dinyatakan dalam kenyataan media Menteri Kesihatan semalam hanya melibatkan aktiviti berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sehubungan itu Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan majlis sosial bagi Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Melaka tidak ada kaitan dengan perjalanan PRN.
“Majlis sosial seperti perkahwinan, sukan, rekreasi, keagamaan, aqiqah, sambutan hari jadi, majlis pertunangan, kebudayaan, baby shower, cukur jambul, kenduri kesyukuran, reunion, retreat dan lain-lain adalah dibenarkan.
“(Melibatkan) Bagi individu yang telah lengkap menerima vaksin dengan 50 peratus kapasiti ruang dan penjarakan fizikal,” kata KKM menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan, termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.
Khairy menegaskan ia bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes dengan mendadak yang mana larangan itu mula berkuatkuasa hari ini hingga 27 November 2021.
“Larangan ini juga selari dengan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan (senarai negatif) dalam Pelan Pemulihan Negara SOP Fasa 4 yang terkini.
“Iaitu, Apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya. – Malaysiapost