PRN Melaka: Calon Putra bukan kelompok ‘kayangan’

PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang akan bertanding tiga hingga lima kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tidak akan menerima mana-mana calon luar bukan ahli parti tersebut.

Ketua Penerangannya, Ashraf Rosli berkata sebagai parti baharu, Putra ingin mempersembahkan kepada rakyat Melaka bahawa ia menyenaraikan calon ‘orang baru’ yang bersih dari isu rasuah, bermoral serta berintegriti.

Ia juga katanya sejajar dengan cogan kata parti Putra iaitu “Putra bersih dan bermoral”.

“Putra juga akan menzahirkan kepada rakyat Malaysia individu-individu terdiri anak tempatan, yang selama ini banyak menyumbang jasa dan bakti kepada rakyat dan negeri Melaka khasnya.

“Calon-calon Putra adalah individu terpilih bukan dari ‘kelompok kayangan’ yang telah lama ‘turun padang’, menjadi pendengar dan penyelesai masalah rakyat.

“Masalah tempatan yang kebanyakannya terlepas pandang oleh kerajaan terdahulu akibat kerakusan kuasa dan penjarahan, banyak dibantu oleh bakal-bakal calon yang sebelum ini bergerak sebagai pergerakan sukarelawan,” katanya.

Sehubungan itu, Ashraf berkata pihaknya memohon sokongan dan undi rakyat Melaka yang sedang menjadi ‘pertaruhan’ ahli politik dari parti-parti besar, agar dapat menamatkan ‘legasi’ kerakusan dan penjarahan yang semakin membarah. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Putra

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights