MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan pasportnya buat sementara bermula 27 Oktober hingga 30 November ini.
Ia bagi membolehkan beliau berjumpa anak lelakinya yang menyelesaikan pengajian di The New School Person, New York, Amerika Syarikat, lapor
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan itu selepas tiada bantahan daripada pihak responden.
Pada prosiding itu, Muhammad Shafee diwakili peguam Wee Yeong Kang.
Beliau didakwa atas dua tuduhan terbabit dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.
Muhammad Shafee didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.
Bagi perbuatan itu, Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Beliau juga berhadapan dua tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967. – Malaysiapost