Wira Unit Senoi Praaq meninggal dunia

Wira Unit Senoi Praaq meninggal dunia

Nurul Huda Abhar

BAPA kepada Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor meninggal dunia semalam.

Berita duka tersebut dimaklumkan oleh Ramli menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata, pengebumian jenazah bapanya selamat disempurnakan semalam selepas Zohor di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Hulu, Perak.

“Berkesempatan ini, saya dan keluarga saya mengucapkan ribuan terima kasih ke atas doa dan ucapan takziah yang disampaikan kepada saya dan keluarga atas pulangnya bapa saya ke pangkuan Allah.

“Moga rohnya ditempatkan dengan golongan suhadah yang dirahmati dan diberkati Allah,” katanya menerusi hantaran itu.

Allahyarham Mohd Noor berketurunan Orang Asli dari suku Semai di Cameron Highland yang berjasa kepada tanah air kerana beliau adalah pengasas Unit Senoi Praaq pada tahun 1955 yang dianggotai oleh Orang Asli.

Allahyarham atau nama asalnya Bah Ayob antara 10 Orang Asli menganggotai Senoi Praaq dan dikembangkan dari semasa ke semasa sehinggalah diiktiraf sebagai pasukan elit untuk Special Air Sevice (SAS) British ketika itu.

Walaupun era darurat berakhir pada tahun 1960, namun kepakaran unit khas masih diperlukan sehingga kini.

Unit Senoi Praaq kini diletakkan di bawah Jabatan Pasukan Gerakan Am, sebuah sayap dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Allahyarham Mohd Nor pernah muncul dalam sebuah dokumentari khas berjudul ‘Suatu Ketika…Laskar Senoi’ dan berkongsi informasi secara langsung penubuhan pasukan pahlawan Senoi Praaq. – Malaysiapost

Komen