Guru enggan divaksin dikenakan tindakan selepas 1 Nov

GURU yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 diberi tempoh sehingga 1 November ini sebelum tindakan selanjutnya dikenakan terhadap mereka, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Katanya, ia selaras ketetapan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mahu penjawat awam patuh kepada pekeliling mewajibkan mereka melengkapkan suntikan tersebut sebelum 1 November atau berdepan tindakan tatatertib, lapor Berita Harian.

Radzi berkata susulan pengumuman JPA, ada guru yang sebelum ini enggan menerima vaksin Covid-19 telah mengubah fikiran dan setuju menerima dos pertama.

“Senarai guru yang enggan divaksin turut berubah dan kita terus memantau perkembangan semasa.

“Kumpulan guru enggan divaksin boleh menjejaskan operasi sekolah dan tindakan segera perlu diambil termasuk menukar guru terbabit,” katanya selepas lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Samariang di Kuching hari ini.

Radzi berkata, pertukaran guru terlibat perlu bagi memastikan pembelajaran murid dan pelajar tidak terjejas, selain memastikan guru yang lengkap divaksin tidak terkesan.

“Sebagai contoh, murid berkeperluan khas memerlukan guru berdamping dengan mereka sepanjang masa.

“Jika ada guru (mengajar murid berkeperluan khas) enggan divaksin, tentu ia menjejaskan operasi sekolah kerana kita berpegang kepada prinsip asas iaitu jika tidak divaksin, tidak boleh mengajar secara bersemuka,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Dr Radzi Jidin

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights