Kematian Guan Dee kehilangan besar buat PN – Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan pemergian Ahli Dewan Negara Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi sebagai kehilangan besar kepada PN dan seluruh negara khususnya Sabah.

Menurutnya, mendiang yang juga Ahli Majlis Tertinggi PN dikenali dengan sifat rendah diri dan usaha gigihnya bagi membina PN tidak hanya di Sabah tetapi juga di peringkat Nasional.

“Sebentar tadi saya mendapat perkhabaran sedih pemergian Senator Datuk Guan Dee pada 4.50 petang di Hospital Kuala Lumpur.

“Beliau merupakan bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dan salah seorang tokoh pengasas penubuhan PN yang telah banyak memberi sumbangan serta bakti kepada negara dan parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhyiddin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mendiang dan berharap tabah menghadapi suasana pilu ini.

Guan Dee, 69, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 4.50 petang tadi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan kerana sakit dada.

Mendiang berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Perikatan Nasional pada petang Ahad tetapi tidak hadir selepas didapati positif Covid-19.

Guan Dee dimasukkan ke hospital pada jam 5 pagi tadi oleh pembantunya selepas mengadu sakit di bahagian dada. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights