KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur menyita 2,797 unit mesin penapis air pelbagai model dianggar bernilai RM7.5 juta yang disimpan dan dijual sebuah syarikat jualan langsung tanpa kelulusan.
Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata rampasan tersebut dibuat hasil pemeriksaan lesen syarikat jualan langsung yang dijalankan oleh pengawai penguatkuasanya, Khamis lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati syarikat tersebut menyimpan dan menjual model produk terbaharu penapis air tanpa mendapat kelulusan pihak kementerian terlebih dahulu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(4) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993, iaitu Pemegang Lesen yang tidak mematuhi mana-mana syarat lesen yang dikenakan oleh pegawai adalah melakukan kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ariffin berkata, mana-mana pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan yang melakukan kesalahan di bawah akta itu, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM500,000.
Menurutnya, Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat agar tidak melanggar undang-undang yang telah dikuatkuasakan. – Malaysiapost