VETERAN Umno mengesyaki Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mempunyai niat tidak baik terhadap partinya sendiri dan mendakwa bekas Ketua Pemuda Umno ini mahu mengekang jentera parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub, berkata dengan cara itu ia akan memberi nafas kepada parti Bersatu untuk menggerakkan jenteranya yang lemah bagi menghadapi Umno.
Beliau berkata demikian susulan larangan mengadakan perjumpaan dan perhimpunan politik semasa pilihan raya dari 25 Oktober hingga 27 November ini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dilihat tidak wajar dan tidak beretika.
Mustapha juga mempersoalkan kenapa larangan itu dibuat oleh Khairy dan bukannya Menteri Kanan Keselamatan atau Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri.
“Kalau majlis-majlis sosial yang lain seperti kenduri kendara dibolehkan maka apa salahnya dengan majlis kempen?
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat semasa berkempen, contohnya menghadkan kehadiran dalam jumlah yang kecil dalam sesuatu perjumpaan,” katanya.
Beliau turut berpendapat larangan itu juga mungkin bertujuan menghalang daripada menteri-menteri turut berkempen demi untuk menjaga ‘air muka’ kerana serba salah untuk menyokong calon-calon yang bertanding.
“Maka kerajaan boleh mengarahkan semua menteri jangan hadir dan duduk dipejabat buat kerja. Ianya tidak menjatuhkan maruah menteri. Biarlah jentera parti yang buat kerja kempen,” katanya.
Mustapha berkata, adalah tidak dapat dinafikan bahawa Umno mempunyai jentera yang rapi dan tersusun bagi menjamin kemenangan PRN Melaka berbanding dengan jentera Bersatu yang lemah dan tidak teratur walaupun dengan sokongan PAS.
“Oleh itu Veteran mendesak Perdana Menteri supaya membenarkan kempen PRN Melaka ini dengan SOP yang ketat termasuk melarang semua menteri dan timbalannya turut berkempen,” katanya. – Malaysiapost