[Parlimen] KERAJAAN tidak berhasrat menaikkan kadar bantuan kebajikan dalam masa terdekat kerana ia sudah dilakukan tahun lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata kerajaan telah menaikkan kadar bantuan pada pembentangan Belanjawan 2021, membabitkan empat skim bantuan berkaitan orang kelainan upaya (OKU), kanak-kanak, warga emas dan keluarga miskin.
Beliau berkata, konsep pelaksanaan kenaikan kadar bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu lebih memberi fokus kepada keperluan isi rumah dan merujuk kepada penggabungan bantuan mengikut keperluan sesebuah isi rumah yang mempunyai pelbagai kategori seperti warga emas, OKU, ibu tunggal yang mempunyai anak yang berumur di bawah 18 tahun serta pesakit kronik terlantar.
“Sekiranya sesebuah isi rumah memenuhi semua kriteria yang ditetapkan, jumlah bantuan yang diterima oleh isi rumah berkenaan adalah melebihi RM1,000 sebulan.
“Contohnya, jika sesebuah isi rumah itu terdapat seorang warga emas, seorang OKU yang tidak bekerja dan ibu tunggal yang mempunyai empat anak yang berumur bawah 18 tahun serta seorang pesakit kronik terlantar, jumlah bantuan yang diterima adalah antara RM1,900 sebulan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Siti Zailah menjelaskan, kenaikan kadar skim bantuan kebajikan JKM bagi Bantuan Kanak-Kanak (BKK) dinaikkan daripada RM100 kepada RM150 bagi seorang kanak-kanak dengan kadar maksimum RM1,000 sebulan satu keluarga.
Katanya, kenaikan kadar itu memberi manfaat kepada 63,184 keluarga miskin dan sebanyak RM206.3 juta peruntukan sudah disalurkan sehingga Ogos lalu.
Manakala, bagi Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik Terlantar (BPT), Zailah berkata, kadar dinaikkan daripada RM350 kepada maksimum RM500 mengikut keperluan kes yang mana seramai 25,835 penjaga OKU dan Pesakit Terlantar mendapat manfaat dan sebanyak RM106.8 juta peruntukan telah disalurkan sehingga Ogos.
“Bagi Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) dinaikkan daripada RM250 kepada RM300. Kenaikan kadar ini telah memberi manfaat kepada 83,929 OKU yang tidak bekerja dan sebanyak RM202.5 juta peruntukan disalurkan sehingga Ogos 2021.
“Elaun Pekerja OKU (EPOKU) pula dinaikka daripada RM400 kepada RM450 dan memberikan memberi manfaat kepada 92,265 OKU yang bekerja dan sebanyak RM329.6 juta peruntukan disalurkan tempoh yang sama.
“Bantuan Warga Emas (BWE) dinaikkan daripada RM350 kepada RM500 dan ini telah memberi manfaat kepada 138,214 warga emas dengan peruntukan sebanyak RM559.2 juta,” katanya.
Dalam pada itu, Zailah menjelaskan, sehingga Ogos lalu seramai 513,054 penerima bantuan telah mendapat manfaat dan sebanyak RM1.6 bilion peruntukan telah disalurkan kepada penerima bantuan yang layak.
“Penyaluran peruntukan kepada golongan OKU adalah paling tinggi berbanding golongan sasar yang lain,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Nie Ching mengapa bantuan OKU tidak dinaikkan kepada RM1,000 seperti dijanjikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sambutan Hari OKU tahun lalu, Zailah menjelaskan kerajaan memberikan bantuan mengikut keperluan isi rumah satu keluarga.
Katanya, cadangan menaikkan kadar bantuan kepada OKU ini sudah dihantar kepada Kementerian Kewangan, namun semuanya tertakluk kepada kedudukan kewangan negara.
“Peningkatan bantuan ini akan menaikkan kos kerajaan kerana membabitkan jumlah yang besar. Sebab itu, apa yang kita laksanakan itu tertakluk kepada kelulusan pihak Kementerian Kewangan,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Siti Zailah