KJ dipilih sebagai Naib Presiden WHA

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menzahirkan ucapan penghargaan di atas pemilihannya sebagai Naib Presiden Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) Ke-75 yang akan berlangsung pada 22 hingga 28 Mei 2022 di Geneva, Switzerland.

Menerusi ciapan di Twitternya, Khairy berkata, pihaknya akan mengetengahkan suara Pasifik Barat kepada perhimpunan dunia khususnya membabitkan prinsip kesaksamaan, solidariti dan akauntabiliti.

“Terima kasih di atas pemilihan Malaysia sebagai Naib Presiden WHA. Kita akan membawa suara Pasifik Barat kepada perhimpunan dunia khususnya membabitkan prinsip kesaksamaan, solidariti dan akauntabiliti,” tulisnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan pelantikan Khairy sebagai Naib Presiden bagi WHA Ke-75 yang akan berlangsung tahun depan.

Dr Noor Hisham berkata, pelantikan dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Jawatankuasa Serantau bagi Pasifik Barat ke-72 (WPRCM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Himeji, Jepun.

Beliau berkata, pemilihan Khairy adalah sebagai pengiktirafan terhadap peranan aktif yang dimainkan Malaysia dalam platform kesihatan dunia.

WHA adalah badan pembuat keputusan tertinggi untuk WHO dan dianggotai oleh 194 negara anggota. – Malaysiapost

Kredit Foto: Twitter/Dr Noor Hisham

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights