VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Samad memuji tindakan Pemuda Umno yang berusaha keras memperjuangkan nasib rakyat pelbagai golongan termasuk pekerja ekonomi gig negara.
Beliau berkata demikian merujuk usaha Pemuda Umno menerusi Sekretariat Hal Ehwal Pekerja Muda yang berusaha memperjuangkan nasib dan kebajikan golongan pekerja penghantaran makanan (p-hailing).
“Ini yang saya suka. Bukan satu isu atau satu-satu kepentingan dan golongan sahaja.
“Dan tidak ada main wayang atau berdrama. Berasas kepada fakta dan data. Ada follow-up dan susulan hingga ke penyelesaiannya,” katanya menerusi Facebook.
Jelasnya, golongan berkenaan wajar dibela mengikut undang-undang tenaga kerja manusia dan ia menjadi hak kepada kumpulan pekerja terbabit.
“Menyeluruh. Dari peringkat pusat atau nasional sehingga ke negeri-negeri dan kota-kota.
“Isu pekerja dalam ekonomi gig negara. Kepentingan mereka di bawah undang-undang tenaga manusia,” katanya.
Kelmarin, Pemuda Umno dan PERKESO mencapai persetujuan untuk mewujudkan kerjasama strategik jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan pembelaan kepada pekerja penghantaran makanan (p-hailing).
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerjasama tersebut akan melibatkan isu berkaitan hak pekerja, perlindungan dan keselamatan sosial terhadap kumpulan penggerak ekonomi gig tersebut.
Menurutnya, memorandum mengenai cadangan dan penambahbaikan berkaitan isu penghantar p-hailing juga telah diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam pertemuan yang diadakan Isnin lalu. – Malaysiapost