SEORANG peneroka Felda maut ditemui dengan kesan tembakan di dada dan tapak tangan kanan di Felda Bukit Sagu 4, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mangsa Mohamad Omar, 67, dari Felda Bukit Sagu, di Kuantan, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bukit Goh, ketika menerima rawatan.
Katanya, berdasarkan laporan, pihaknya menerima panggilan daripada pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Bukit Goh memaklumkan seorang lelaki meninggal dunia akibat terkena tembakan di bahagian dada dan tapak tangan kanan.
“Menurut keterangan isteri mangsa, suaminya keluar dari rumah untuk pergi mengait buah kelapa sawit di tempat kejadian pada jam 10 pagi.
“Pada jam 3.36 petang, mangsa menghubungi isterinya memberitahu ditembak di bahagian dada. Isteri mangsa bersama rakan mangsa pergi ke tempat kejadian dan menemui suaminya cedera parah di tengah dada akibat kesan tembakan dan ketika itu masih hidup.
“Mangsa kemudiannya dibawa isteri dan rakan baik mangsa ke Klinik Kesihatan Bukit Goh untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, pada jam 4.20 petang, mangsa disahkan meninggal dunia.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan, selaras senapang buatan sendiri ditemui di tempat kejadian.
“Setakat ini, motif kejadian dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. – Malaysiapost
Sumber Foto: Facebook/Anak Felda