Tiada pertambahan gelembung pelancongan – Nancy

[Parlimen] TIADA lagi keperluan untuk mewujudkan gelembung pelancongan domestik yang lain, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, tidak akan berlaku pertambahan gelembung pelancongan kerana Perdana Menteri pada 10 Okober lalu telah membenarkan aktiviti rentas negeri hasil daripada kejayaan negara mencapai kadar vaksinasi 90 peratus populasi dewasa.

“Ini tentunya membawa khabar yang lebih baik kepada industri pelancongan negara kerana sebagai industri yang sangat bergantung kepada mobiliti atau pergerakan, kebenaran rentas negeri untuk tujuan pelancongan ini tidak lagi membataskan pergerakan dan destinasi pilihan yang terhad untuk rakyat Malaysia melancong di dalam negara.

“Justeru, susulan pengumuman kebenaran rentas negeri tersebut, maka pada masa ini, tiada lagi keperluan untuk mewujudkan gelembung-gelembung pelancongan domestik yang lain,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjung Manis) meminta kerajaan menyatakan apakah perancangan untuk memperkenalkan gelembung pelancongan ke Sarawak sebagaimana yang telah dimulakan di Pulau Langkawi.

Mengulas mengenainya, Nancy berkata, bagi tempoh 16 September sehingga 15 Oktober lalu, Pulau Langkawi menerima kemasukan seramai lebih 100,000 pelawat dari seluruh negara.

“Kegiatan aktiviti pelancongan yang kembali aktif memberi impak positif bukan sahaja kepada entiti perniagaan pelancongan semata-mata, malah limpahan ekonomi hasil daripada aktiviti ini serta sektor rantaian turut membawa perkembangan yang baik kepada masyarakat setempat,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights